OKTOBER 2022

Sarawak Pelawa Pelabur New Zealand


KUCHING: Susulan lebih banyak sempadan antarabangsa sudah dibuka, hubungan dagangan Sarawak di peringkat global dan dengan New Zealand akan terus meningkat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, New Zealand adalah negara popular bagi rakyat Sarawak terutama untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dan sebagai destinasi pelancongan.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat Duta Besar New Zealand ke Malaysia, Pam Dunn di pejabatnya di sini hari ini.

Pada kunjungan hormat itu, Awang Tengah dan Pam Dunn membincangkan pelbagai perkara yang mempunyai kepentingan bersama dan bertukar-tukar pandangan berkaitan banyak sektor terutama dalam perdagangan dan pelaburan New Zealand dan Sarawak boleh mewujudkan kerjasama.

Sektor terbabit termasuk teknologi, minyak dan gas, tenaga diperbaharui, petrokimia dan pertanian komersial, katanya.

Awang Tengah menegaskan, jumlah dagangan antara New Zealand dan Sarawak pada tahun 2021 bernilai RM467.3 juta dengan nilai eksport berjumlah RM358 juta.

Jumlah nilai eksport itu disumbang oleh produk petroleum, baja dan makanan ternakan, manakala import pula bernilai RM109 juta terutama produk tenusu, daging, buah-buahan dan sayur-sayuran, katanya.

Awang Tengah mengalu-alukan pelaburan dan perdagangan dari New Zealand yang menyokong pertumbuhan ekonomi, sosial inklusif dan kelestarian alam sekitar sejajar dengan pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 Sarawak.

Hadir sama Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron dan Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo.

Sumber dari : Jiwa Bakti